Saturday, January 2, 2010

Ulasan Filem : Muallaf - deennasour.com

copy without permission, sorry bro. tq in advance




“Semua orang mencari Tuhan, tetapi dengan cara mereka sendiri” ….. Brother Anthony.

“109:6″~Al-Kafirun ayat 6 – “Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku”.

p/s : Entry terpanjang pernah aku tulis. Kalau malas jangan baca. Kalau rajin, jangan sampai terlepas satu ayat!

Ayat di atas antara ayat yang paling melekat atas kepala hotak aku dan menyebabkan tangan aku kuat untuk menaipnya di dalam handphone buat tatapan korang juga yang belum sempat menontonnya.

Tak banyak filem Melayu yang bertemakan Islam di Malaysia, walaupun Malaysia sebuah negara Islam. Antara yang pernah diterbitkan, Syukur 21, Maut dan itu sahaja yang aku ingat. Filem dari seberang, Ayat-Ayat Cinta, Laskar Pelangi. Tapi selepas tayangan Muallaf dan aku menontonnya, andai kata ada filem lain hebat dipandangan mata korang, ternyata bagi aku Muallaf mencantas kesemua filem-filem itu. Aku merasakan Laskar Pelangi antara filem yang membawa mesej Keislamanan dengan amat lembut dan tersimpul rapi sehingga berjaya menang Anugerah Filem Terbaik baru2 ini. Tetapi selepas menonton Muallaf, ternyata aku merasakan naskah Allahyarham Yasmin Ahmad yang ini, adalah yang paling baik.

Menurut Allahyarham melalui temuduga oleh Ajami, skrip filem ditulis selama 5 hari. Dan aku terkedu. Sekejap. (atau sebenarnya memang nak buat skrip filem secepat itu? aku belum pernah menulis skrip filem) Dan bukan waktu yang singkat itu mengkagumkan aku. Tetapi bagaimana skrip yang siap selama 5 hari itu mempunyai mesej yang amat-amat berat lagi mendalam. Diselit dengan ayat-ayat Al-Quran dan Injil. Ayat-ayat Al-Quran yang bukan hanya satu,dua ayat. Tetapi banyak!
Sehinggakan aku setuju untuk menyatakan Muallaf adalah filem dakwah paling berkesan! 100%!!!

Dan aku terfikir, mengapa filem ini di banned! Adakah kerna memaparkan agama Kristian,Injil,Gereja dan Anjing?? atau kerna satu babak budak lelaki bogel berdiri di tepi taman permainan?? Padahal filem yang memaparkan babak beromen tidak pula dibanned tayangannya.

Mungkin ada yang salah tafsir. Filem ini mengagungkan Injil dan orang Kristian! Padahal bagi aku filem ini cuba MENGAJAR atau MENDIDIK atau MENEGASKAN Islam itu adalah agama yang indah. Tiada paksaan. Kasih sayang diterapkan! dan Mengapa Islam melarang berbuat begitu dan begini.

Sifat kasih dan sayang melalui watak Rohana dan Rohani. Sifat lemah lembut yang diterapkan dalam Islam yang menyentuh perasaan seorang lelaki Kristian melalui watak Robert yang akhirnya jatuh hati dengan dengan kelembutan dan kasih sayang Rohana dan Rohani yang tidak pernah dikecapinya sejak kecil. Tidakkah itu cara berdakwah??? Iaitu cara HIKMAH, satu daripada 3 cara berdakwah Rasulullah yang diterapkan Yasmin ke dalam naskahnya ini.

Watak Rohani yang begitu arif dan menghafal ayat-ayat kitab suci Al-Quran mahupun Injil sememangnya pada mulanya mengelirukan aku. Tetapi apa yang aku faham, Yasmin cuba memberitahu “KAU TAK PERLU MENJADI USTAZ ATAU USTAZAH ATAU HAFIZ UNTUK MENGHAFAL AL-QURAN. KAU JUGA TIDAK PERLU BERSEKOLAH DI SEKOLAH PONDOK UNTUK MENGAJI AL-QURAN”.

Kesimpulan yang aku buat di atas bukan bermaksud untuk mencaci “adat” orang melayu, kalau nak mengaji kena pg pondok, jumpa ustaz” tetapi bagi aku Yasmin cuba untuk menggambarkan, “ILMU AGAMA ITU BOLEH SAHAJA DIHAFAL DI HAYATI DENGAN PELBAGAI CARA DAN DI MANA SAHAJA KITA BERADA”. Tetapi Yasmin tidak menolak, untuk khatam atau menguasai lebih lagi sesuatu ilmu itu, kita kena berguru. Sebab itulah diwujudkan babak Rohana mencari pusat pengajian yang menyediakan khusus dalam bidang agama.

Antara ayat yang disebut oleh Rohani dalam Muallaf yang disebutnya berulang2 ketika pada permulaan awal cerita Muallaf ketika cikgunya menyuruh melukis GAJAH ialah

”105:1″ iaitu ayat ke-105 dalam Al-Quran Surah Al-Fiil dan ayat 1 iaitu “Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?”

Ayat itu menjadi titik tolak sebenarnya kepada cikgu Robert untuk mendalami Islam yang kemudian meminjam tafsir Al-Quran daripada Rohana dan Rohani.

Aku suka babak Rohana di sebuah kolej, di mana Yasmin sempat mencuit atau sedikit mengejek institusi pengajian di Malaysia yang tidak banyak menyediakan kursus agama. Sehinggakan dia perlu belajar di luar negara. Di dalam filem ini Rohana terpaksa melanjutkan pelajaran ke Singapura. Dan pada hakikatnya ramai anak muda kita belajar agama hingga ke Arab. Itu contoh!.

Yasmin juga turut mengkritik kehidupan orang2 kaya dan berpangkat. Bagaimana seorang Dato’ iaitu ayah kepada Rohana dan Rohani yang beragama Islam, tidak langsung rasa bersalah meminum arak. Tetapi berasa jijik pula dengan anjing. Ya! Menghalalkan yang haram!. Hakikat dunia hari ini! Yang mengejar kekayaan dan juga sifat kedekut yang ada pada Robert yang ditegur Yasmin dengan menyatakan ayat;

”104:3″ iaitu surah 104 Al-Humazah ayat 3 iaitu “Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)!”

Sedar atau tidak, Muallaf juga menyingkap sejarah zaman Rasulullah yang dicedoknya dari Kisah Rasulullah dengan seorang tua di mana orang tua yang bukan beragama Islam yang selalu mengejek Rasulullah dan menikam Rasulullah dengan batu dan najis tetapi apabila suatu hari orang tua itu jatuh sakit, Rasulullah tetap menziarahi orang tua yang jatuh sakit itu, dan menyuapkannya bubur. Dan diselitkan di dalam Muallaf di mana Rohana dan Rohani menziarahi sorang budak perempuan yang koma. Walaupun tiada talian keluarga dan bukan seorang yang beragama Islam.

Dan apabila Rohana dan Rohani tiada, Robert telah mengambil alih tugas itu, seperti juga kisah Rasulullah dengan orang tua tadi di mana ketika Rasulullah mangkat, Saidina Abu Bakar yang mengambil alih tugas menyuapkan bubur kepada orang tua itu dan akhirnya orang tua tersebut telah memasuki Islam.

Dan ketika Rohana dan Rohani melawati budak perempuan yang koma itu, mereka sering membacakan ayat terakhir Surah Al-Baqarah;

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

Nampak tak betapa Muallaf sebuah naskah yang berat dengan mesej KEISLAMAN tetapi pernah dibanned oleh negaranya sendiri, padahal negaranya adalah sebuah negara Islam!!!

Tapi babak dan skrip kata2 Rohana kepada Rohani dalam babak di atas katil sebelum kedua adik beradik ini tidur cukup untuk menerangkan kenapa perkara di atas terjadi. Orang tak faham dan akan marah jika tidak faham apa yang tersirat (nombor-nombor yang selalu disebut Rohani).

Indah. Memang indah beb! Bila teringatkan filem ni lepas aku tonton, terus teringat wajah Yasmin Ahmad. Terus rasa sebak. Teringat babak paling aku suka, babak Rohana dalam perjalanan balik ke rumah, di mana kamera melangit (shot tunjuk langit aje) sambil Rohana berselawat ke atas nabi. Memang waktu tu, aku rasa sebak gila! babak paling touching. Terasa aura filem ini. Padahal ianya just babak melangit dengan selawat ke atas nabi.

dan terakhir ulasan dari aku bila memikirkan satu nombor ayat dari filem Muallaf yang aku rasa Yasmin cuba mengingatkan dirinya juga iaitu 24:31;

“Surah An-Nur ayat 31; Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya,”

p/s : Al-Fatihah buat Allahyarham Yasmin Ahmad. Semoga beliau ditempatkan bersama kekasih-kekasih Allah s.w.t. Amiin~

Filem ini aku bagi 5/5 bintang. YA! Filem Terbaik!

Friday, January 1, 2010

Memberi Akhirnya Kepada Diri - www.saifulislam.com

source: www.earthmothercrafts.com

“Saya sudah membuat keputusan muktamad. Setakat ini sahaja perkhidmatan saya bersama tuan. Saya mahu bersara” kata seorang tukang kayu.

Sudah berpuluh tahun beliau bekerja bersama majikannya itu. Penuh dedikasi. Tetapi hatinya dihinggap rasa jemu. Terasa mahu segera pergi.

Meninggalkan tempat kerja dan rutin hariannya.

Pergi bercuti sepuas hati.

Si majikan termenung. Perasaan bercampur aduk.

“Aku ada satu permintaan. Permintaan yang mungkin terakhir daripada aku untuk kamu” ujar si majikan.

“Apakah permintaan itu?” tanya si tukang kayu.

“Aku mahu kamu selesaikan satu sahaja lagi projek. Sebuah rumah kayu terakhir yang aku mahu kamu tumpahkan segala pengalamanmu untuk membinanya” kata si majikan.

Si tukang kayu serba salah.

Sudah terbayang wajah monyok sang isteri di rumah.

Kakinya sudah terasa-rasa pasir di pantai. Wajah sudah dingin-dingin dihembus angin benua. Menangguhkan semua itu untuk kembali bertukang kayu, terasa ralat benar di hati.

Tetapi dek mengenangkan begitu banyak jasa si majikan kepada dirinya dan keluarga selama ini, beliau mengangguk lesu. Setuju.

Terpaksa.

Rumah dibina seadanya. Asalkan siap.

Sifirnya mudah, apa-apa sahaja yang dibuat kerana terpaksa, terseksa.

Malang sekali.

Setelah berpuluh tahun bekerja dengan penuh dedikasi, dengan hasil kerja yang dipuji ramai, beliau mengakhiri hasil tangan seperti melepaskan batok di tangga.

“Alah, bang. Tak payahlah ukir dan paku beriya-iya sangat. Janji siap sudah. Ini pun kira kita dah baik hati nak tolong siapkan!” hasut sang isteri, menambah lagi rasa ‘tidak ikhlas’ di hati suami, si tukang kayu.

Selesai rumah kayu itu ditukang, beliau sendiri berasa tidak suka untuk melihatnya. Tetapi peduli apa. Beliau mahu segera bersara dan pergi bercuti.

“Nah, tuan. Ini kunci rumah itu. Segala tugasan sudah saya selesaikan” kata si tukang kayu.

“Simpanlah kunci itu!” jawab si majikan.

“Kenapa tuan?” si tukang kayu kebingungan.

“Rumah itu adalah hadiah daripada saya untukmu. Tanda penghargaan atas persahabatan kita selama ini” kata si majikan dengan wajah yang tulus penuh keikhlasan.

Menggeletar tangan si tukang kayu.

Hatinya ditaufan rasa sesal.

“Kalaulah aku tahu rumah ini adalah milikku, nescaya akan kubuat dengan sebaik mungkin!” hati kecil yang tidak pernah berbohong itu berbisik kesal.

ERTI HIDUP PADA MEMBERI

Dalam menghayati makna ERTI HIDUP PADA MEMBERI, hati sering dibisik was-was. Apa gunanya bersusah payah membantu. Cukuplah dengan segala kesusahan hidup kita yang sedia ada, kenapa mahu berpenat lelah untuk orang lain!

“Buat baik berpada-pada!” tokok sebuah peribahasa.

Hati yang akur dengan bisikan-bisikan ini akan mengeluh, “asyik aku sahaja yang memberi. Sesekali kenalah menerima. Terasa bagai dimanipulasi!”

Lalu datanglah segala penyakit sikap. Culas, acuh tidak acuh, ala kadar dan janji siap, menjadi sendi-sendi kerja yang dibuat tanpa sokongan jiwa.

Hakikatnya kehidupan tidak begitu.

Memberi, tidak pernah mengurangkan apa yang ada pada diri, malah menyuntik subur berkat dan kemajuan.

Sesungguhnya setiap kebaikan yang kita berikan dalam khidmat kepada umat, tidak pernah kebaikan itu tidak berbalik kepada kita.

Hanya manusia yang lupakan Tuhan, tidak menyedarinya.

“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.” [Al-Israa' 17: 7]

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG