walaupun artikel lama, tapi ia bermanafaat untuk semua
sori dari jalan kopi, aku copy artikel lu tanpa kebenaran
5 November 2008
Lanun Baru Sudah Sampai – Bahagian Satu
Obama menang. Warga dunia bersorak – riang ria kerana Obama ke rumah putih. Warga dunia mula memasang impian sabelum tidor malam ini semoga dunia kembali aman. Makcik di Kenya, Pakcik di Monggol, Pak Lebai di Riyadh mula berharap. Minah-minah cun di belakang lorong Pat Pong di Bangkok tidak ambil pot. Obama menang Mc Cain kalah tidak peduli. Rezeki mesti dicari
Adakah harapan untok semua ini?
Saya sanggop berlutut di depan Maharaja Rom untok tidak menjadi bebal. Kita sebagai warga dunia perlu sabar seketika. Apa yang sudah terjadi di atas muka bumi ini perlu kita renungkan. Kita sebagai warga dunia perlu berfikir secara lebih waras.
Sebagai warga dunia yang cintakan keamanan kita perlu mempersoalkan dari mana sosok Obama ini lahir? Dari mana sosok Obama ini datang ? Apakah sistem ekonomi yang dianuti olih sosok Obama ini? Siapa menyediakan dana yang besar untok Obama melobi dan dilobi. Persoalan-persoalan pokok ini perlu kita halakan kepada batang tuboh kita.
Obama telah lahir dalam sistem ekonomi kapitalis. Obama telah lahir dalam Parti Democrat kapitalis. Obama telah lahir di dalam negara kapitalis tulen. Negara kapitalis yang dikuasai olih kaum pemodal yang mengejar keuntungan maksimum tanpa memikirkan kesan terhadap hukum sosial.
Sistem ekonomi kapitalis adalah sistem ekonomi yang menindas rakyat. Lihat polisi Amerika selama ini. Untuk teros memperkayakan negara - mereka terus-terusan menceroboh Iraq dan Afghanistan. Mengancam Korea Utara, Iran dan Venezuela. Tanpa penindasan sistem kapitalis tidak mungkin hidop. Tanpa peperangan - sistem kapitalis akan kaput. Tanpa huru-hara sistem kapitalis akan tempang.
Ancaman ini sampai bukan kerana Republican atau Democrat. Ancaman ini sampai bukan kerana Sarah Palin itu cun. Ancaman ini sampai kerana sistem ekonomi kapitalis telah disujud. Ancaman ini sampai kerana sistem ekonomi kapitalis telah disembah. Sosok Republican atau Democrat tidak melambangkan apa-apa. Melainkan melambangkan penindasan dan keuntongan maksimum.
Pelobi kabal-kabal zionis telah meresap masuk ke dalam Republican dan Democrat. Pelobi ini adalah kaum pemodal yang berpengaruh. Kaum pemodal ini yang menentukan hala tuju sistem ekonomi kapitalis Amerika.
Jangan jadi bebal kerana sosok Obama. Tugas kita sebagai warga dunia adalah untuk membaraikan Dolar Amerika. Tugas kita sebagai warga adalah untuk membaraikan sistem ekonomi kapitalis yang menindas. Tugas kita sebagai warga dunia adalah untok menentang segala kezaliman untuk terus hidop aman.
Malam ini saya akan berdoa. Malam ini sabelum tidur saya akan menadah tangan. Doa saya bukan untok Barack Obama. Doa saya untok warga dunia yang ditindas. Doa saya untok Palestin. Doa saya untok Afghanistan. Doa saya untok negara-negara yang ditindas sistem ekonomi kapitalis. Doa saya juga untok warga Plentong yang sedang kehilangan tanah dan rumah mereka.
6 November 2008
Lanun Baru Sudah Sampai – Bahagian Dua
Pagi ini saya bangun lagi dari tidur. Pagi ini saya bangun dan maseh berada di atas katil yang sama. Pagi ini saya bangun untuk meraikan kehidupan sebagai warga dunia. Apa yang saya boleh raikan bukan kemenangan Obama. Apa yang saya boleh raikan bukan kematian Osama.
Apa yang boleh saya raikan ialah tertegaknya demokrasi rakyat Amerika. Sistem media seluruh Amerika telah berlaku adil dengan menjual dua sosok untok menjadi ketua – rakyat mendapat manfaat untuk membuat penilaian. Malang sekali demokrasi sebagini tiada di Malaysia. Barisan Nasional tidak ada keberanian menjual sosok sebagini. Tiada padang sama rata. Tiada gelanggang saksama.
Jika demokrasi tulen ini melingkari lanskap politik Malaysia kekuatan Barisan Nasional akan pecah-lerai-berderai-terbarai.
Menanti Obama melakukan perubahan di atas muka bumi adalah tidak salah. Saya tidak akan menahan warga dunia dari terseringai menanti. Tetapi adakah ianya benar realis?
Menanti Obama melakukan perubahan sama saperti menunggu ular batik tidak mengejar anak ayam selepas bersalin kulit. Ini tindakan betul. Ular batik tidak akan mengejar anak ayam lagi selepas bersalin kulit. Tetapi hanya untuk sementara waktu. Selepas ular batik ini kembali lapar ia akan tetap mengejar mangsa yang sama. Amerika juga kini bersalin kulit tetapi mempunyai isi dan ruang rangka pemikiran yang sama.
Menanti Obama melakukan perubahan sama saperti tahun 2003. Singkap sejarah lima tahun sudah - rakyat Malaysia menunggu perubahan dari zaman gelap Mahathir Muhamad kepada zaman cerah Abdullah Badawi. Dua sosok berlainan tetapi berkongsi ideologi yang sama. Sampai pagi ini kita semua terus menanti dengan penoh harapan. Tetapi harapan tidak pernah sampai bertemu dan menyapa batang tubuh kita. Harapan ini semakin tersepak jauh.
Warga dunia. Belajarlah dari sejarah.
"Sejarah adalah sebagian dari diri sebagai bangsa - dia tidak bolih dipisahkan apalagi dilupakan. Melupakan sejarah - apalagi meninggalkan sejarah - sama artinya dengan kehancoran sabuah bangsa." - Bung Karno, 17 Ogos 1966
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment