Tuesday, August 26, 2008

SEPULUH TAHUN REFORMASI – UNTUK MEREKA YANG MASIH MUDA

Detik-detik itu datang kembali : 1998 – 2008 .

Sepuluh tahun dahulu kami turun ke jalan raya. Jalan raya adalah pilihan kami. Jalan raya adalah parlimen rakyat yang paling demokratik. Di parlimen ini tidak ada YB yang berjaket dan berDatuk. Tidak ada Tan Sri dan Mak Datin.Tidak ada ucapan berjela-jela yang membosankan.

Hanya satu tuntutan parlimen jalan raya - Mahathir Undur dan United Malays National Oganisation dihapuskan.

Gerakan REFORMASI cuba dipatahkan oleh jentera daulah. Tembakan gas pemedih mata. Tembakan cecair kimia. Dipukul. Dibelasah. Ditangkap. Semuanya untuk mematahkan dan menakutkan suara dan jiwa anak-anak muda yang mula berani menentang kezaliman dan penindasan.

Anak-anak muda – semuda yang di bangku sekolah - mula turun ke jalan raya. Anak-anak muda dari kampus berbondong-bondong ke jalan raya. Setiap minggu dari Penang, Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan – kami berdemo di sekitar Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur kita punya. Dari Bukit Bintang ke Batu Road, dari Bangi ke Bandar Tun Razak, dari Chow Kit ke Chu Badak, dari Pandan ke Petaling Jaya, dari Kg. Baru ke Kg. Abdullah Hukum – warga kota turun berdemo menuntut MAHAFIRAUN meletak jawatan.

Kampus kembali menjadi arena tempur. Kampus kembali menjadi gelanggang idea. Kampus adalah tempat melahirkan pejuang muda.

Mak Cik, Kakak, Abang dan Adik adalah penyokong setia yang turut sama berani turun ke jalan raya – parlimen rakyat .Kitalah – rakyat – dan bukan YB atau menteri yang membuat sejarah. Sejarah dibuat oleh mereka yang berani. Mereka yang takut telah mati seribu kali.

Sepuluh tahun kemudian detik-detik itu datang kembali. Gerakan Reformasi dahulunya dibantai. Ramai ke penjara. Reformasi merundum. Ramai yang belot. Ramai yang tidak faham apa makna dan tanda tuntutan Reformasi.Kini suara dan gelombang Reformasi bangun kembali.

Reformasi bukan demonstrasi. Demonstrasi hanyalah salah satu manifestasi reformasi.

Jangan salah hitung. Jangan salah congak. Reformasi bukan untuk Anwar Ibrahim. Reformasi ialah tuntutan rakyat untuk mengubah sistem negara Malaysia yang tidak adil, tidak telus dan bersifat perkauman.

Anwar Ibrahim ialah manifestasi yang mewakili pengkristalan idea-idea untuk membawa sebuah Negara Malaysia yang baru yang lebih adil, saksama, tanpa hitung kaum, gender seksualiti, bangsa dan agama. Reformasi menolak Ketuanan Melayu dan Menobatkan Ketuanan Rakyat.

Sepuluh tahun bukan satu masa yang lama dalam tamadun manusia. Tetapi sepuluh tahun adalah lama dalam hayat susuk manusia. Tetapi perjuangan untuk membawa keadilan dan kesejahteran bukan tugas perseorangan. Ia bukan tugas saya. Bukan tugas awak. Bukan tugas kamu. Bukan tugas dia dan bukan tugas mereka.

Membawa dan menegakkan keadilan adalah tugas dan tanggung jawab KITA bersama. Meneruskan REFORMASI adalah tugas kita bersama. Kita meneruskan tugas sambung menyambung. Kita meneruskan sejarah perjuangan orang-orang yang terdahulu dari kita.

1 comment:

Rausyanfikir said...

Sila2.Dialu2kan. Terima kasih kerana sudi melawat.