Tuesday, April 28, 2009

Pertandingan Lagu '1Bihun' Cetus Polemik Bahasa - Faisal tehrani



Batu Berendam, 28 April 2009 - Pertandingan mencipta lagu '1Bihun' anjuran UBMO kini menjadi kontroversi setelah sekumpulan penyokong PPSMI menyatakan mereka mahu lagu-lagu '1Bihun' yang menyertai pertandingan tersebut dinyanyikan dalam bahasa Inggeris. Bagi menerjemahkan hasrat mereka, kumpulan penyokong tegar PPSMI bercadang untuk menganjurkan sebuah konsert bertaraf antarabangsa yang akan mengundang artis terkenal dari seluruh dunia untuk menyanyikan lagu-lagu hit mereka mengenai bihun. Objektif konsert tersebut ialah supaya hadirin yang datang dapat belajar tatabahasa Inggeris menerusi lirik lagu-lagu dengan bahasa internasional.

Konsert tersebut dijangka akan dianjurkan pada 30 Mei ini di Penanti.

"Kami telah menghubungi Datuk Michelle Yeoh dan Datuk Shahrukh Khan untuk menjadi pengacara konsert hebat ini kelak. Tapi belum dapat jawapan." Kata penganjur 'Konsert 1Bihun International', Cik Sharon Mok. Tema konsert antarabangsa ini adalah 'I Felt Very Clever Singing 1Bihun in English'.

"Antara lagu-lagu yang bakal dinyanyikan ialah 'My Bihun Will Go On' oleh Celine Dion, 'I Will Always Bihun You', dan 'I Wanna Bihun With Somebody' oleh Whitney Houston, juga 'A Bihun to Cry On' oleh Tommy Page, 'I Drove All Nite to Bihun with You' nyanyian Cyndi Lauper, Opps I Ate Bihun Again dendangan Bitney Spears; dan bagi menyuntikkan minat generasi muda, kami juga telah berjaya mendapatkan Kelly Clarkson untuk menyanyikan lagu 'My Life Would Bihun Without You.' Acara pembukaan akan diserikan oleh kumpulan underground Meet Auntie Bihun. Untuk memastikan konsert ini tidak dibantah oleh mana-mana pejuang bahasa atau sasterawan negara kami telah mendapatkan isteri Datuk Mujib, Rokiah Manja sebagai penaung. Jadi tidak ada media akan membuat bantahan melainkan media alternatif. Kami hanya ingin memastikan pelajar-pelajar kita dapat kerja dan pandai bertutur bahasa Inggeris setelah mendengar lagu-lagu best ini."

Cik Sharon Mok juga menambah pemilihan Rokiah Manja ialah kerana kegemarannya memakan bihun. Untuk memeriahkan konsert, pelekat kereta istimewa dengan slogan 'No Bihun No Life' akan diberi percuma untuk setiap pembelian tiket berharga RM 45 ke atas. Konsert dalam bahasa Inggeris ini juga akan dilancarkan oleh Che Det, pengasas PPSMI. "Kita pilih Che Det sebab dialah satu-satunya rujukan intelektual PPSMI. Kita cari juga kalau ada rujukan intelektual yang lain. Tapi tak jumpa. Nak buat macam mana."

Buletin Berita Hairan menghubungi pengarang prolifik Faisal Tehrani yang telah menyatakan bantahan rasmi mengenai usaha penganjur konsert tersebut, "Saya terperanjat. Ini tidak dapat diterima akal. Bila saya kata saya setuju dengan pertandingan lagu '1Bihun', saya bersetuju kerana ia dinyanyikan dalam bahasa Melayu atau bahasa Malaysia. Bukan bahasa Inggeris. Saya telah menghubungi rakan-rakan di Kena dan Sindiket Soljah (yang terkenal dengan slogan 'Jom Pekena Bihun'), jika mereka tidak membatalkan rancangan itu, kita akan ambil tindakan. Kita akan berdemonstrasi."

Dr Abu Hasan Hasnullah dari UM turut menyelar usaha pihak terbabit, "Ini suatu yang ajaib. Kalau dilihat dari segi future studies usaha ini akan membantutkan perkembangan budaya kita."

Beberapa blogger anti '1Bihun' juga mulai memperkenalkan logo 'Tak Nak Bihun' di alam maya.

Sementara itu Pengarah Dewan Bihun dan Popia yang dihubungi enggan mengulas perkara tersebut. "Oleh kerana mereka telah mengambil Rokiah Manja, kita terpaksa tutup mulutlah. Lagi pun kita tak suka isu bihun dipolitikkan."

Namun begitu pengarah Dewan Bihun dan Popia yang bertanggungjawab menjaga kepentingan bihun dan popia sebagai makanan kebangsaan mengakui pihaknya sedang berusaha memperkasa bihun dalam rangka memantapkan konsep '1Bihun'.

"Selain berjaya menjadikan bihun dan popia makanan rasmi setiap kali selepas miting dan seminar, kita juga telah mencipta banyak pepatah dan peribahasa baharu supaya bihun tidak dipandang rendah lagi. Ini pun ada enam yang baru disahkan oleh jawatankuasa penilai."

Antara pepatah dan peribahasa yang dimaksudkan ialah:

1. Terperanjat bihun: Terperanjat yang tidak begitu terperanjat.
Contoh ayat - Zinni terperanjat bihun apabila disergah temannya, Zan.

2. Seram bihun: Tidak begitu seram.
Contoh ayat - Pengulas filem terkenal Manisha berpendapat filem Rasukan Ablasa hanyalah seram-seram bihun sahaja.

3. Lemah bihun: Betul-betul lemah, sangat lemah.
Contoh ayat - Bohsia yang dibelasah sekumpulan mat rempit itu ditemui lemah bihun ditepi belukar berdekatan Kampung Cubadak.

4. Buta bihun: Pura-pura tidak nampak.
Contoh ayat - Yasmin sengaja membuta bihun apabila bertembung dengan Ammar.

5. Putih bihun: Putih yang tidak begitu melepak, putih yang menyamai putihnya warna bihun mentah.
Contoh ayat - Nabil mencintai Erma kerana kulit teman wanitanya itu putih bihun.

6. Seronok bihun: Terlalu seronok sehingga mengalir air mata.
Contoh ayat - Kami seronok bihun pada malam keraian kelmarin.

Oleh kerana itu, pengarah Dewan Bihun dan Popia berpendapat mereka tidak perlu lagi terlibat dalam budaya politik jalanan dalam usaha menjadikan bihun kembali bertakhta sebagai makanan kebangsaan. "Itu sahajalah yang terdaya kita lakukan dalam rangka memperkasakan bihun." Ujar beliau dengan nada tidak bermaya.

Exco kebajikan UBMO, Datuk Muis Piatu yang bertanggungjawab menganjurkan pertandingan lagu '1Bihun' bagaimanapun melihat usaha penyokong PPSMI tersebut dengan nada positif, "Saya seronok-seronok bihun mendengarnya. Ini bermakna '1Bihun' telah mulai berakar umbi dalam kalangan masyarakat. Tidak lama lagi semua kita akan berjaya dibihunkan yakni semua kita akan kembali makan bihun."

Cik Sharon Mok menjelaskan selain konsert '1Bihun International' mereka juga bercadang untuk mencari sutradara bagi mengarah filem baharu 'BihunTime' yang akan menampilkan penyanyi terkenal Jack Victor berlakon. "Filem ini juga dalam bahasa Inggeris." katanya lagi sambil senyum terkulum.

No comments: