Saturday, March 21, 2009

Mempertahankan warisan Inggeris - utusan malaysia


Atas nama mengekalkan warisan, akhirnya Sekolah Menengah Victoria kembali dipanggil Victoria Institution (VI). Nama sekolah yang diasaskan pada tahun 1891 ini mengambil sempena Sambutan Jubli Emas Queen Victoria ketua negara Britain yang pada zamannyalah, empayar British berada di puncak.

Penubuhannya dibuat untuk mengikut jejak Raffles Institution di Singapura yang diasaskan oleh Stamford Raffles pada tahun 1823. Sehingga hari ini, namanya tidak berubah.

Antara lulusan Raffles Institution adalah tokoh-tokoh di Kuala Lumpur pada akhir abad ke-19. Mereka ialah Kapitan Cina, Yap Kwan Seng dan Loke Yew yang merupakan ketua bagi orang Cina di kota itu. Maka mereka dengan sokongan ketua kaum India, Thamboosamy Pillay percaya sebuah sekolah seperti Raffles Institution patut diwujudkan di Kuala Lumpur.

Maka cadangan mereka diterima oleh Residen British bagi Selangor ketika itu, William Hood Treacher. Pada zaman itu Residen British itu adalah de facto Menteri Besar.

VI dapat diwujudkan hasil daripada bantuan derma Sultan Selangor ketika itu, Sultan Abdul Samad. Maknanya penubuhan VI adalah atas usaha bersama Raja Melayu, penjajah Inggeris dan ketua-ketua kaum. Patutnya sekolah itu dinamakan Sultan Abdul Samad Institution. Queen Victoria pula dapat nama.

Namun begitu, sejarah wajar dihormati dan peninggalan penjajah British di negara ini juga merupakan warisan yang elok dipertahankan.

Kalaulah orang dahulu mengambil berat mengenai warisan, sudah tentu mereka tidak akan tergesa-gesa menukar nama VI kepada Sekolah Menengah Victoria yang tidak begitu klasik, apatah lagi glamor.

Maka lepas ini sekolah lama penulis iaitu Sekolah Menengah St. John's patut dikembalikan namanya kepada St John's Institution (SJI). Tetapi bukan saja sekolah-sekolah yang terkenal patut dikembalikan nama warisannya. Apa kata sekolah-sekolah biasa seperti sekolah rendah penulis iaitu Sekolah Rendah Jalan Padang Tembak kembali kepada nama dahulu iaitu Rifle Range Road School (RRRS).

Nama jalan ini menjadi demikian kerana ia melalui lapangan sasar menembak di Mindef, kependekan daripada perkataan Ministry of Defence atau Kementerian Pertahanan. Pada zaman British, di sinilah markas tentera utama mereka. Bermakna di sinilah British menguasai Tanah Melayu.

Jalan Padang Tembak ini melalui Jalan Semarak, dahulunya bernama Gurney Road. Namanya begitu klasik. Gurney Road mengmbil sempena nama bekas Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu, Sir Henry Gurney. Masa itu kedudukannya adalah seperti Yang Dipertua bagi Tanah Melayu, maklumlah beliau mewakili Raja England yang mana negaranya menjajah Tanah Melayu. Gurney ditembak mati di Bukit Fraser.

Nama Fraser's Hill dan Cameron Highland tidak diubah sehingga kini. Ia terus menjadi warisan. Boleh pula nama bersejarah ini dikekalkan. Yang telah berubah ialah Maxwell Hill di Taiping yang kini dikenali sebagai Bukit Larut. Namun Sekolah Menengah Maxwell di Kuala Lumpur mengekalkan nama asalnya.

Apa salahnya mengekalkan nama-nama asal supaya ciri sejarah dapat dipertahankan. Sebarang nama baru biarlah diberikan kepada jalan atau tempat baru.

Begitu juga dengan nama negara ini sendiri. Asalnya Tanah Melayu tetapi dalam bahasa Inggeris ia menjadi Malaya. Sepatutnya biarlah begitu tetapi apabila Malaysia diwujudkan, Tanah Melayu menjadi Malaysia Barat. Kemudian ia bertukar menjadi Semenanjung Malaysia.

Apa yang nyata, nama Melayu itu sudah hilang. Pada masa ini katakan hendak dikembalikan nama Tanah Melayu, sudah tentu dirasakan seperti ada unsur-unsur perkauman.

Maka tidak hairanlah Keretapi Tanah Melayu bertukar namanya kepada KTM Berhad. Hilanglah nama Melayu pada perkhidmatan keretapi ini. Ada ura-ura akan ditubuhkan sebuah lagi syarikat keretapi nasional, jangan harap akan digunakan perkataan Melayu.

Malah perkhidmatan LRT yang dahulunya dikenali sebagai Putra sudah hilang nama Melayunya untuk menjadi RapidKL. Ingatlah bahawa satu masa dahulu, perkhidmatan bas utama di Kuala Lumpur bernama Seri Jaya. Namanya ditulis dalam jawi di atas badan bas. Kemudian ia bertukar menjadi SJ saja. Tidak lama kemudian, ia diambil alih dan ditukar namanya kepada Intrakota. Perkataan itu separuh Melayu, separuh Inggeris. Lepas itu, bertukar menjadi RapidKL. Hilang langsung perkataan Melayu. Begitu juga dengan syarikat bas lain di Kuala Lumpur seperti Cityliner.

Ketika kereta nasional mula diperkenalkan, tentunya rakyat negara ini berbangga dengan nama Saga, Iswara, Satria, Waja dan Juara. Begitu juga dengan Perodua yang memiliki nama seperti Kancil, Rusa, Kelisa dan Kenari. Lepas itu nama Melayu pun hilang.

Nasib baik Naza memperkenalkan nama seperti Citra, Ria dan Sutra. Kadang kala rakyat negara ini sudah tidak berbangga dengan nama ibunda, kononnya tidak sedap didengar.

Ada satu masa dahulu atas nama nasionalisme, maka ditukar nama-nama bersejarah. Maka hilanglah Jalan Batu, Jalan Mountbatten, Jalan Travers, Jalan Brickfields, Foch Avenue, Jalan Parry, Circular Road dan pelbagai nama jalan.

Tetapi setelah lama merdeka, suka pula mengguna nama asing. Sedangkan banyak nama Melayu yang sedap didengar. Lihatlah Damansara, Melawati, Menjalara, Maluri dan Hartamas, ia menjadi tempat glamor walaupun namanya bukan daripada bahasa Inggeris.

Nampaknya, sudah lupa tentang perkataan-perkataan indah daripada bahasanya sendiri. Mungkin kerana terlampau mengejar mata pelajaran sains hinggakan sastera dipandang lekeh, sedangkan kedua-duanya adalah perlu. Kini orang sudah kurang menggunakan istilah barah, kencing manis, angin ahmar dan lelah. Ia telah digantikan dengan kanser, diabetes, strok dan asma. Lagipun jabatan kajicuacapun sudah bertukar menjadi Jabatan Meteorologi. Maklumlah pengajaran sains sudah pun dalam bahasa Inggeris.

No comments: