Bagitu lama dahulu ketika nenek saya masih hidup. Ketika itu semuanya cukup indah. Kami tidak memiliki banyak. Tapi alam kami penuh dengan kegembiraan. Zaman itu – zaman yang telah berlalu – zaman yang telah diambil oleh masa.
Bila puasa sampai saya cukup gembira. Bukan sebagai kanak-kanak yang warak tetapi sebagai kanak-kanak yang tidak pernah sabar menunggu pesta-pestaan di bulan Ramadan. Lumayan dengan pelbagai makanan dan manis-manisan.
Ketika kanak-kanak ada harinya saya akan berpuasa penuh. Ada hari setengah hari. Ada hari tidak puasa langsung. Semuanya indah. Ibu, bapa , abang dan kakak saya tidak pernah menjanjikan syurga atau neraka – mereka juga telah melintasi zaman yang sama. Saya tidak pernah di besarkan dengan Syurga dan Neraka – janji manis dan janji ganas. Kami membesar dalam kampong dengan penuh budaya kampongan Melayu.
Rumah kami tidak ada arloji. Terlalu jarang ada tetanga di kampong yang memilikinya. Hanya masjid dan mungkin di rumah Ketua Kampong yang ada arloji. Arloji tangan pastilah sesuatu yang jarang dimiliki.
Rumah kami memiliki concorong – beteri basah – kalau bateri menjadi kering maka susahlah mendengar suara tanda berbuka. Tapi dunia masih indah. Datuk Undang kami akan meledakan meriam untuk memberitahu orang kampung bila waktu tepat untuk berbuka. Dentuman meriam ini akan di sambut oleh pukulan beduk dari masjid ke masjid dari surau ke surau. Akhirnya semua daerah tahu bila waktu berbuka.
Kami kanak-kanak lebih awal lagi telah memasang telinga untuk mendengar ledakan meriam ini. Bayangkan kami kanak-kanak cuba mengagak-agak dan meneka bila agaknya meriam ini akan meledak. Ianya menjadi satu permainan dari budaya kemeriahan puasa daerah kami. Ini terlalu lama dahulu, sebelum dunia senja kampong kami dibingarkan oleh kereta dan motosikal.
Paling enak ialah berbuka di surau. Saya akan mandi di sungai lebih awal. Kadang-kadang secara menyuruk-nyuruk saya mengambil bedak puteh ibu saya sebagai tanda hormat - entah untuk siapa, saya pun kurang sedar. Bukan untuk Yang Maha Esa mungkin untuk dilihat suci dan bersih.
Pilihan makanan cukup lumayan di surau. Ada berbagai manisan dan kueh mueh untuk di nikmati. Tidak pernah lauk, gulai dan kueh kami di datangkan dari kedai atau dari warong. Semua buatan sendiri.
Makanan ke surau tidak pernah datang dalam plastik semuanya datang dalam mangkuk tingkat. Sesudah dipakai ianya dibasuh dan bolih di gunakan hingga hari kiamat. Tidak ada yang membazir. Tidak ada apa-apa yang kami buang. Kami bukan pencinta alam – kami tidak sedar pun tentang alam, cuaca dan panas. Kami hanya tahu ini budaya kami merayakan kehidupan segembira yang boleh kami rayakan.
Yang datang ke surau ini hampir ke semuanya saudara mara yang ada petalian darah. Duduk di kampong adalah duduk di kelilingi oleh saudara mara. Jiran dan tetangga juga tidak ada beza dari kaum keluarga sendiri.
Di surau kami tidak ada ucapan-ucapan ganas-ganas tentang Syurga dan Neraka. Tidak ada sesiapa pun yang akan bercerita tentang politik jauh sekali tentang ekonomi, saham atau pink form. Tidak pernah ada perebutan untuk menjadi imam atau ahli jawatankuasa. Kami kanak-kanak disedarkan – yang tua di hormati – yang jahat di jauhi.
Sesudah magrib kami berbuka untuk memakan juadah yang dihidangkan. Ketika menunggu Isyak ada Datok, Pak Cik, Abang dan Mak Cik yang akan mengulung tembakau nipah. Jarang sekali ada yang menghisap rokok cigaret. Tidak ada diskriminasi gender di surau kami. Sireh dan pinang juga bertukar tangan.
Ketika inilah yang kami - kanak-kanak – menungu-nungu. Dalam suasana perayaan ini kami akan di benarkan untuk mengulung nipah tanpa tembakau dan memakan sireh atau pinang. Betapa indahnya bulan puasa ini kerana kami telah di terima sebagai ‘orang dewasa’ dengan sireh di mulut dan rokok nipah di bibir.
Kemudian kami bertarawih. Di surau kampong kami tidak ada garis pemisah antara jemaah lelaki dan perempuan. Kami bukan orang Arab atau orang Pakistan – kami orang Melayu. Saf sembahyang kami cukup senang. Dimana saf lelaki berakhir disana saf perempun bermula. Kami, kanak-kanak di barisan belakang. Sambil berbaris sambil kami tersenyum dan mata menoleh ke kiri dan ke kanan untuk meniru-niru perbuatan orang dewasa. Bagitulah kyusuknya kami kanak-kank. Kami juga tidak faham apa makna ayat-ayat yang sedang dibacakan. Bila orang dewasa tunduk kami tunduk bila sujud kami sujud. Tidak lebih dari itu.
Tetapi saya yakin pastilah Yang Maha Esa mengetahui niat suci kami untuk menyambut bulan puasa yang paling mengembirakan.
Di surau kampong , kami tidak pernah di susah-susahkan dengan pelbagai ritual yang pelik-pelik. Kami bukan orang Arab dan bukan orang Pakistan. Kami orang Melayu. Saya tidak pernah tahu apa itu Sunni dan apa itu Shiah. Apa yang saya tahu inilah budaya kami untuk merayakan kehidupan sebagai tanda terima kaseh kami kepada Yang Maha Esa.
Hampir terlupa, paling menarik di surau kami ialah lampu minyak api yang cahayanya berkuasa begitu jauh sekali hingga dapat menerangi tangga surau. Bayangkan surau kamilah - satu-satunya bangunan yang terang bercahaya dalam bulan puasa. Cahaya ini juga adalah tanda bahawa kami sekampong sedang beramal ibadat. Sesekali ianya malap dan perlu dipam semula. Antara gelap dengan terang ini - kami kanak-kanak akan berkerumun melihat abang-abang kami – mepam angin ke dalam lampu.
Lewat malam kami berundur pulang. Ada yang berpelita dan ada yang berlampu picit. Ada yang berjalan dalam gelap gelita. Ada yang berbasikal. Tidak ada yang bekereta atau bermotosikal.
Kami kanak-kanak merasakan waktu yang telah melintasi jam sepuluh telah bagitu lewat sekali. Esok kami akan ke sekolah. Kampong kami telah gelap dan sunyi. Sesekali kedengaran bunyi Belatok Malam dengan iringan cengkerik yang tidak pernah putus-putus.
by Hishamudin Rais
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment