Friday, September 19, 2008

Memikirkan Nabi yang selalu tiada makan - Harakahdaily.net

Dinsman
Wed | Sep 17, 08 | 8:55:32 am MYT

Kira-kira lima tahun lalu saya bersama Nasir Jani membuat sebuah dokumentari video mengenai "Puasa Ramadan di Malaysia". Hari ini saya tiba-tiba teringat - bukan kepada VCD yang sudah siap itu, tetapi kepada satu masalah besar waktu membuat penggambaran untuk mengumpul bahan dokumentari itu.


Apa masalahnya? Masalahnya ialah kebanyakan bahan visual yang dapat kami kumpulkan rupa-rupanya adalah mengenai peristiwa orang makan. Sedangkan dokumentari itu mengenai orang Malaysia menahan diri tidak makan di siang hari sepanjang bulan Ramadhan. Dia jadi terbalik. Songsang.

Tetapi memang pun banyak peristiwa makan. Betul, orang Islam dewasa tidak makan di siang hari. Tetapi menjelang petang terdapat satu kesibukan orang hendak membeli makanan, yang luar biasa sibuknya, di mana-mana, di seluruh negara. Pasar atau bazar Ramadan tiba-tiba muncul di sana sini. Hal yang tidak pernah terjadi di luar bulan Ramadan. Ia suatu pesta makanan yang paling besar di dunia.

Mengapa ia terjadi songsang begitu? Tentulah bukan begitu yang diajarkan Nabi.

Itulah persoalan saya lima tahun lalu, dan masih menjadi persoalan hingga kini. Bahkan ia berkembang lagi, apabila fikiran saya tersangkut pada cerita-cerita Nabi Muhammad s.a.w. yang dikisahkan selalu mengalami lapar, perut kosong kerana tidak makan, hingga ada waktunya terpaksa perutnya diikat dengan batu.

Sukar hendak saya bayangkan bagaimana perut kosong yang perlu dibantu supaya tidak terasa terlalu pedih kelaparan, dengan mengikatkan ketul-ketul batu pada perut itu. Tak boleh. Saya gagal merasionalkannya. Tidakkah perbuatan itu akan menimbulkan rasa sakit pula di perut itu kerana adanya batu-batu yang diikat padanya?

Saya kebetulan sedang membaca beberapa buah buku yang di dalamnya terdapat cerita-cerita berkenaan. Misaalnya buku "Muhammad s.a.w. Insan Teladan Sepanjang Zaman" hasil karya Tok Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang baru diterbitkan oleh Anbakri Publika.

Antara lain digambarkan sewaktu membuat persiapan Perang al-Ahzab, Rasulullah turut bersama-sama dengan para sahabat, memerah keringat menggali parit untuk benteng pertahanan. "Baginda turut memunggah tanah dan batu-batu yang berat, menyebabkan seluruh fizikal merasai sakit, terasa pedih hingga ke pangkal hati."

"Untuk mengurangkan kepedihan akibat rasa lapar, Rasulullah s.a.w. mengambil beberapa ketul batu, kemudian dibalut dengan kain dan mengikat ketat pada perutnya. Baginda berbuat begitu selain untuk mengurangkan rasa lapar, juga untuk mengelakkan daripada kecederaan akibat bekerja berat dalam keadaan perut kosong." (ms 45)

Dan bayangkanlah. Walaupun terpaksa menahan lapar, Nabi dan para sahabat bekerja menggali parit itu dalam keadaan gembira dan bersemangat. Kata Nik Aziz, "Ketika menggali parit, para sahabat bersajak dan bersyair untuk membangkitkan semangat juang. Rasulullah s.a.w. juga turut bernasyid bersama-sama mereka." (ms 34)

Kemudian ketika membaca buku Meraih Ampunan Allah (terjemahan) karangan Jamilah al-Mashri (2004, Jakarta), terdapat pula cerita yang diriwayatkan Imam Ahmad dan Tabrani, bahawa pada suatu hari Fatimah (r.a) memberikan sekeping roti kepada ayahnya Muhammad s.a.w. Nabi mengambil dan berkata: "Ini adalah makanan pertama yang dimakan ayahmu sejak tiga hari yang lalu."

Bayangkan Rasulullah tiga hari tak makan! Kemudian ada pula riwayat bahawa Abu Hurairah berkata, "Aku menemui Nabi s.a.w. ketika baginda sedang solat sambil duduk, lalu aku bertanya: 'Wahai Rasulullah, aku melihatmu solat dalam keadaan duduk. Apa yang menimpamu?' Baginda menjawab: 'Lapar, wahai Abu Hurairah'." (ms 230)

Dan ada beberapa peristiwa lagi dari sirah Rasulullah, yang melekat dalam fikiran saya, menyebabkan saya berfikir - alangkah berbezanya, dan jauhnya perbezaan antara corak hidup kita hari ini dengan corak hidup Rasulullah dan para sahabat di zaman itu.

Tentulah itu bukan cerita kedaifan. Nabi Muhammad mempunyai segala peluang untuk menjadi orang terkaya di zaman itu, sekiranya dia memilih untuk menjadi kaya. Dia sendiri sejak muda telah terkenal dengan bakat berniaganya, hingga tokoh korporat zaman itu, Khadijah, mengamanahkan perniagaan kepadanya.

Para sahabat seperti Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf adalah orang-orang kaya yang banyak harta, dan sentiasa mahu menyumbang. Kemudian hasil rampasan perang pun, mengikut Jamilah al-Mashri, boleh memberikan kekayaan kepada Nabi sekiranya baginda mahu mengambil bahagiannya.

Katanya, "Seandainya Rasul s.a.w. mau menegumpulkan harta, nescaya baginda menjadi manusia terkaya. Seperlima harta rampasan dari Perang Hunain saja sudah mencapai 8,000 ekor kambing, 4,800 unta, 8,000 auns perak serta 1,200 tawanan." (ms 138)

Mengisahkan seorang sahabat yang juga mengalami lapar, Nik Aziz di dalam bukunya mencatatkan: "Abu Hurairah r.a, berkata: Bahawa pada suatu ketika aku rebah ke tanah kerana terlalu lapar. Orang yang melihat aku tergeletak di tanah mengatakan aku terkena penyakit sawan. Sebenarnya aku tidak terkena penyakit sawan, tetapi aku rebah kerana terlalu lapar.

Tiba-tiba ada sahabat memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w. menyuruh aku pergi ke rumahnya. Menerima jemputan itu tiba-tiba tubuh aku menjadi segar, kerana lazimnya jika Rasulullah saw menjemput kami ke rumahnya bererti ada makanan yang hendak dihidangkan kepada kami." (ms 35)

Membaca sirah Rasulullah dan para sahabat berulangkali dari pelbagai sudut, saya bukan saja merasai perbezaan corak hidup mereka yang ketara itu, tetapi juga merasai beberapa pertanyaan yang mendesak, memerlukan pemahaman yang lebih rasional dan wajar.

Misalnya, dua tahun lalu saya pernah mengutip idea dan pemikiran Abul Hasan Ali An-Nadwi dari bukunya Pertentangan Iman dengan Materialisma, untuk dialog drama pentas saya yang berjudul "Tamu Dari Medan Perang".

Dalam drama tersebut watak Mufti membacakan sebuah hadis, begini: "Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, daripada Umar ibnul Khattab, katanya: Pada suatu hari saya masuk menemui Rasulullah s.a.w. di rumahnya, baginda sedang berbaring di atas pasir. Baginda tidak menggunakan sebarang alas bagi mengalaskan antara tubuhnya dengan pasir. Kesan-kesan pasir kelihatan jelas di bahagian rusuknya.

"Begitulah Rasulullah s.a.w. Bukan baginda tidak mampu. Kalau baginda mahu, bukan baginda tidak mampu untuk mengadakan lantai yang beralas atau membina rumah yang besar dan mewah sekalipun. Baginda mampu mengadakan semua itu, kalaulah itu yang baginda pilih. Tetapi baginda tidak memilih yang itu."

Meneruskan pemikiran itu di hari-hari Ramadan al-mubarak, saya jadi bertambah yakin bahawa corak hidup kita sudah jauh terpesong dari landasan yang ditunjukkan Nabi. Jauh betul terpesongnya. Dan rupa-rupanya inilah yang selalu ditekankan Tok Guru Nik Aziz dalam kuliah-kuliah dan juga dalam kepimpinannya.

Tepat sekalilah beliau bertanya Ketua Audit Negara yang menegur jabatan dan agensi kerajaan Kelantan "tidak menunjukkan kemajuan ketara". Kata Nik Aziz: "Saya nak tahu apa definisi maju tu dulu. Ukuran maju ke tak maju ni dikira dari mana." Soalan itu sebenarnya untuk difikirkan oleh semua orang hari ini.

No comments: