Abu Firdaus Wed | Sep 17, 08 | 8:52:29 am MYT | |
Al-Fatihah. Semoga Allah mencucuri rahmat roh Allahyarham Samad Ismail. |
Membaca belasungkawa dalam akhbar termasuk yang pernah menjadi asuhannya, perhatian para penulis adalah Pak Samad itu apa? Beliau adalah seorang pejuang kemerdekaan, nasionalis kiri dan wartawan tokoh.
Pemberita baru tidak mengenalinya, hanya mengambil biodata daripada sumber perpustakaan. Jarang sekali mengupas pemikirannya.
Pak Samad Ismail adalah salah seorang Tokoh Wartawan Negara tetapi beliau layak dinobatlkan sebagai Bapa Kewartawanan Malaysia. Kalau Rahim Kajai adalah Bapa Kewartawanan Melayu maka Samad Ismail ialah Bapa Kewartawanan Malaysia.
Beliau pernah menyumbang tenaga fikir kepada dengan Utusan Melayu, Warta Malai yang menggabungkan Utusan Melayu dan Warta Melayu pada zaman Syonan-to (nama Singapura pada zaman Jepun), Straits Times, Berita Harian, New Straits Times, Star dan TV3. Lepas bersara, beliau turut menyumbang untuk majalah Gila-Gila, Harakah dan Detik.
Ya, Harakah. Pak Samad menerima undangan memberi ceramah dan kursus kewartawanan kepada pemberita Harakah. Peristiwa itu berlaku buat pertama kalinya pada awal 90-an apabila Ketua Pengarang Harakah ketika itu, Zin Mahmud mengundangnya memberi ceramah kewartawanan di pejabat Harakah lama.
Urusan undangannya itu dilakukan Zulkifli Sulong ketika itu Pengarang Berita Harakah.
Pak Samad yang sudah bersara tidak ragu-ragu menerima jemputan. Menurut Zin yang kini Ketua Pengarang Majalah di Utusan Karya, Pak Samad berkata beliau kena berhati-hati ketika bercakap di depan pemberita Harakah dan orang PAS kerana "takut tersasul dan tercakap kata-kata tidak sopan."
Tentunya berlainan di Utusan dan Berita Harian berbanding Harakah. Zin menceritakan bahawa ketika ucapan pengenalannya mengenai Pak Samad, beliau kelihatan gembira mendengar kata-kata Ketua pengarang Harakah itu.
Mana tidaknya, Zin menyatakan bahawa buku-buku Pak Samad iaitu Mengasah Bakat, Kursus Kewartawanan dan Patah Sayap Terbang Jua yang mendorongnya menjadi wartawan. Daripada itu jugalah Zin memohon untuk menjadi wartawan Utusan sebaik beliau habis belajar.
Tetapi bukan Zin saja yang dicorakkan pemikirannya oleh Pak Samad. Patah Sayap Terbang Jua kalau tidak silap telah dijadikan buku teks. Ia adalah antara buku-buku sastera yang mencorakkan satu generasi anak-anak Malaysia lepas merdeka. Seperti juga buku-buku sastera lain iaitu Sandera oleh Arena Wati, Interlok oleh Abdullah Hussain dan Tulang-tulang Berserakan oleh Usman Awang. Iaitu antara lainnya, di samping buku-buku teks sastera dari Indonesia seperti Atheis oleh Achdiat K Miharja dan Keluarga Gerilya oleh Pramoedya Ananta Toer.
Buku sastera Melayu dan Indonesia umumnya bersifat kiri. Nasionalisme Melayu pada asasnya adalah nasionalisme kiri. Begitu juga dengan sasterawan dan wartawannya.
Maka di bawah pimpinan Pak Samad, Utusan Melayu di Singapura menjadi kiri. Maka Patah Sayap Terbang Jua menceritakan kisah seorang wartawan nasionalis di Singapura pada zaman Jepun. Ia menggambarkan kehidupan Pak Samad sebagai pemberita di pulau itu.
Setelah lama Patah Sayap Terbang Jua hilang di pasaran, ia diterbitkan semula Creative Enterprise, penerbit majalah Gila-Gila. Ya, Pak Samad juga menulis dalam Gila-Gila dengan menggambarkan bahawa beliau sentiasa mengikut perkembangan masyarakatnya. Pak Samad tidak membeku pada zamannya. Beliau pasti sentiasa membaca semua akhbar di negara ini hingga ke akhir hayatnya.
Tetapi apakah pemikiran Pak Samad? Beliau adalah seorang intelektual dan aktivis, selain menjadi jurnalis. Tidakkah seorang wartawan seharusnya juga seorang intelekjtual dan aktivis? Sebab itu, tidak sepertti pada zaman ini, semasa zaman pra-merdeka, seringkali seorang wartawan sekali gus seorang intelektual dan aktivis. Wartawan selalunya juga sasterawan dan ahli politik.
Di masa mudanya, Pak Samad adalah Setiausaha Agung Gerakan Angkatan Muda (GERAM) yang berpusat di Singapura. Kenyataan beliau yang terkenal berbunyi, "GERAM geramkan penjajah Inggeris kerana mengharamkan API itu." Perkara ini diceritakan Ahmad Boestamam, ketua Angkatan Pemuda Insaf (API) dalam bukunya Meniti Jalan ke Puncak.
GERAM membantah Inggeris kerana mengharamkan API, yang menjadi pertubuhan pertama yang diharamkan penjajah, lebih dahulu daripada Parti Komunis Malaya (PKM). GERAM seperti API sebagai golongan nasionalis kiri memihak Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) pimpinan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang diketuai Burhanuddin Al-Hilmy. PUTERA memperjuangkan Perlembagaan Rakyat sebagai alternatif Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
Tetapi Pak Samad adalah anak Singapura. API beroperasi di Tanah Melayu, GERAM di Singapura. PKMM juga parti Tanah Melayu. Pewarisnya, Parti Rakyat Malaya pimpinan Ahmad Boestamam juga beroperasi di Tanah Melayu.
Parti seideologinya di Singapura ialah Parti Rakyat Singapura (PRS) yang dipimpin Said Zahari. Tetapi Pak Samad memenuhi undangan Lee Kuan Yew untuk sama-sama mengasaskan Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Sungguhpun begitu, jalan salah sangka. Pada awalnya PAP yang menuntut kemerdekaan Singapura atas landasan sosialisme demokratik adalah parti kiri dan bukannya berbentuk perkauman yang terdapat dalam gagasan Malaysian Malaysia.
PAP menggabungkan semua tenaga golongan kiri di Singapura tanpa mengira kaum dan aliran bagi memperjuangkan sosialisme secara demokrasi, tidak seperti PKM yang memilih jalan bersenjata.
Kalaulah sejarah menjadi berbeza, maka bayangkan Presiden pertama republik itu ialah Yusof Ishak dan Perdana Menterinya, Samad Ismail.
Kedua-duanya dari Utusan Melayu. Lee Kuan Yew juga adalah peguam bagi Utusan Melayu. Pak Samad tidak dilihat sebagai orang Melayu dalam PAP, kerana semasa awal lagi tidak timbul soal kaum. Tetapi mungkin Pak Samad dilihat sebagai sebahagian golongan kiri PAP.
Akhirnya PAP berpecah antara golongan kanan dan kiri. Pihak kanan pimpinan Lee Kuan Yew memperjuangkan percantuman Singapura dengan Tanah Melayu. Pihak kiri menentangnya. Perpecahan berlaku dengan pihak kiri keluar daripada PAP dan menubuhkan Barisan Sosialis.
Tetapi tekanan berbeza berlaku ke atas Utusan Melayu. Pak Samad menerima tekanan supaya meninggalkan Singapura dan berpindah ke Jakarta untuk menjadi koresponden Utusan di situ.
Apabila Pak Samad kembali ke tanah air, beliau tidak mahu lagi bekerja dengan Utusan Melayu tetapi sebaliknya berpindah ke Berita Harian dengan azam menjadikannya akhbar Melayu utama di tangan orang Melayu. Dengan bertulisan rumi maka Berita Harian berupaya mendahului Utusan Melayu.
Pemilik Berita Harian, Straits Times juga berpecah dua. Di Singapura, ia dikuasai PAP sementara di Tanah Melayu, ia diambil alih Umno. Pada waktu sama Utusan juga diambil alih Umno. Menurut Said Zahari, pemilikan Utusan oleh Umno atas gesaan Inggeris. Bukan itu saja, Pak Said dan pemimpin Barisan Sosialis turut ditahan ISA. Ini menyebabkan ia dan PRS lumpuh membolehkan PAP berkuasa di Singapura.
Tetapi Umno tidak berterima kasih kepada Pak Samad kerana menjadikan Berita Harian akhbarnya yang baik. Beliau ditangkap ISA pada tahun 70-an. Banyak pemerhati menyifatkan penahanannya adalah sebab politik dalaman Umno dikait pula dengan kehendak kerajaan PAP.
Dr Mahathir Mohamad membebaskan beliau dan kedudukannya dipulihkan. Beliau terus berkhidmat untuk Umno melalui usaha menjadikan kewartawanan berita di TV3 sebagai media yang berkesan dari segi politik.
Apakah pemikiran Pak Samad? Melihat Utusan Melayu sebelum dimiliki Umno, Berita Harian dan New Straits Times pada zaman Tun Razak dan Dr Mahathir, termasuk TV3 semasa awal penubuhannya, maka itulah dia pemikiran Pak Samad. - mks. _
No comments:
Post a Comment